20/08/2026
YAB Dato' Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor telah mengadakan Lawatan Kerja ke Daerah Muar bagi pembentangan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) Daerah Muar pada 14 Ogos 2026. Pada kesempatan tersebut, YAB Dato' Onn Hafiz Ghazi turut berkelapangan menunaikan Solat Jumaat di Masjid Kampung Parit Pechah, Muar. Turut hadir ialah Yang Berhormat Dato' Haji Mohd Jafni bin Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato' Lukman bin Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Johor, Pejabat Daerah Muar dan penduduk setempat.
Masjid Kampung Parit Pechah, Muar merupakan sebuah projek pembinaan yang telah dilaksanakan oleh KPRJ E&C Sdn. Bhd. (KECSB) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM5 juta. Projek ini telah dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan dan berjaya disiapkan sepenuhnya serta memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada 26 Mei 2026.
Selain itu, pengesahan/pewartaan penggunaan masjid secara rasmi telah diperoleh pada 12 Jun 2026, sekali gus membolehkan masjid tersebut digunakan sepenuhnya oleh masyarakat dan kariah setempat. Masjid ini mula beroperasi bagi Solat Jumaat sejak bulan Jun 2026 dan menyediakan kemudahan yang selesa, kondusif serta bersesuaian dengan keperluan penduduk setempat dalam melaksanakan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.
Daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM5 juta, sebanyak RM2.3 juta merupakan sumbangan Yayasan Mohamed Noah, manakala baki sebanyak RM2.7 juta disalurkan menerusi Tabung Pembangunan Masjid dan Surau bagi merealisasikan pembinaan Masjid Kampung Parit Pechah, Muar.
Pembinaan masjid ini bukan sahaja menyediakan sebuah tempat ibadah yang lebih selesa dan kondusif, malah menjadi pusat penyatuan komuniti serta platform bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada penduduk dan kariah setempat.
Dengan penyiapan Masjid Kampung Parit Pechah ini, ianya mencerminkan komitmen berterusan oleh Kerajaan Negeri Johor dan pihak berkaitan dalam menyediakan kemudahan keagamaan yang berkualiti, selesa dan kondusif, di samping memperkukuh pembangunan sosial serta kesejahteraan masyarakat setempat.