11/06/2026
MUHYIDDIN SOMBONG?
13 Ahli Parlimen BERSATU mendakwa sikap sombong Tan Sri Muhyiddin menjadi sebab PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU.
Apa yang sombong tidak diberitahu.
Jadi, tak bolehlah saya ulas perihal sombong tersebut.
Cuma, sebab PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU bolehlah saya ulas mengikut sudut pandang saya.
Sudut pandang orang lain mungkin berbeza.
Saya dilatih untuk melihat politik dari dua sudut. Yang tersurat dan tersirat.
Yang tersurat mudah nampak.
Isu pertukaran MB Perlis, SD sokong ADUN UMNO di Negeri Sembilan, dakwaan BERSATU lebih ramai calon daripada jentera, pemecatan keahlian kump**an RESET, tuduh menuduh antara penyokong kedua-dua parti dan lain-lain.
Isu-isu ini boleh diselesaikan jika kedua-dua pihak memikirkan ianya penting untuk diselesaikan dan menguntungkan jika selesai.
Parti politik seperti orang politik melihat kiraan untung rugi.
Politik adalah seni siapa dapat apa, bila dan bagaimana.
Who gets what, when and how.
Jika isu-isu ini memberikan keuntungan politik apabila dapat diselesaikan, maka apa jua jalan dan kaedah akan dicari untuk menyelesaikannya.
Berunding, bermaafan, berbaik semula adalah antara kaedah untuk menyelesaikan kemelut.
Tetapi jika ada jalan lain yang difikirkan lebih menguntungkan, buat apa menyelesaikan masalah yang tidak membawa keuntungan?
Jika bercerai lebih menguntungkan daripada kekal bersama, maka bercerailah.
Jadi, kita kena lihat apa yang tersirat.
Saya lihat apabila PAS menggerakkan MN 2.0 dengan UMNO, perpisahan dengan BERSATU menjadi tidak dapat dielakkan (inevitable).
Semasa MN 1.0 dahulu pun, UMNO meletakkan syarat jika PAS mahu bersama UMNO, PAS mesti berpisah dengan BERSATU.
Saya masih menyimpan surat menyurat antara BERSATU, PAS dan UMNO mengenai pembentukan MN 1.0.
Kenapa syaratnya mesti menyisihkan BERSATU?
Jawapannya mudah sahaja. Kerusi.
UMNO mahu bertanding di kerusi-kerusi milik BERSATU.
UMNO juga tidak mahu melihat pengaruh BERSATU berkembang kerana kedua-dua parti bersaing merebut segmen pengundi yang sama.
Jadi, jika PAS mahu bekerjasama dengan UMNO, BERSATU mesti dikorbankan.
BERSATU menjadi “sacrificial lamb” untuk menjayakan MN 2.0.
BERSATU bukan menjadi penghalang kepada penyatuan Melayu.
BERSATU adalah penghalang kepada perkahwinan semula PAS dan UMNO.
UMNO tidak mahu “bermadu” dengan BERSATU.
Isu-isu yang tersurat itu sebenarnya menjadi alasan paling “convenient” untuk menghalalkan perceraian PAS-BERSATU.
Macam suami isteri di ambang perceraian kerana ada orang ketiga.
Tiba-tiba kentut isteri busuk sangat. Padahal semua orang kentutnya busuk.
Samalah seperti Tan Sri Muhyiddin.
Tiba-tiba Tan Sri Muhyiddin menjadi sombong. Padahal dari dahulu lagi Tan Sri Muhyiddin begitulah karakternya.
Tegas. Tidak mudah mengalah.
Ini sudut pandang saya.
Tapi tunggu dulu. Ada satu lagi yang tersirat.
Saya menghidu ada permainan politik aras tinggi yang sedang berjalan.
Semua peristiwa ini berlaku di bawah hidung Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.
Langkah Bangkok. Anwar tahu.
SD Negeri Sembilan. Anwar tahu.
BN bertanding solo di Johor. Anwar tahu.
Selepas ini mungkin ada beberapa negeri lagi yang akan membubarkan DUN untuk memberikan laluan kepada BN bertanding solo.
Tetapi Anwar tidak melakukan apa-apa untuk menghentikannya.
Tidakkah kedudukannya tergugat jika BN menjadi lebih kuat dan MN 2.0 menjadi kenyataan?
No Anwar, No DAP, No BERSATU sedang menjadi realiti.
Atau, adakah seseorang sedang meyakinkan Anwar bahawa ini semua adalah “game” untuk memecah-belahkan PN dan akhirnya menguntungkan Anwar?
Siapa sedang “mainkan” siapa?
Ya, PN sedang berpecah.
Jika BERSATU tunduk kepada desakan 13 Ahli Parlimen yang menggesa BERSATU supaya keluar PN, hampir separuh sokongan kepada PN dalam pilihan raya akan hilang.
Lagipun, gelombang PN sudah surut.
PN dalam PRU-16 tidak lagi sama dengan PN dalam PRU-15. PN menjadi semakin lemah.
Bukankah ini menguntungkan gabungan PH-BN?
Sementelahan p**a, PAS sudah menceraikan BERSATU. UMNO belum menceraikan PH.
Mereka masih tidur sebilik.
Dalam keadaan ini, UMNO masih ada pilihan. PAS sudah tiada pilihan.
Siapa lebih untung?
Kalau saya Anwar, saya akan katakan kepada “operator” yang sedang mengkucar-kacirkan rumah tangga PN “silakan....”
Akhirnya, 13 Ahli Parlimen yang menuduh Muhyiddin sombong ini sedang menjadi bidak-bidak di papan catur. Mereka sedang digerakkan ke hulu ke hilir oleh sang pencatur untuk kepentingan orang lain.
Bukan kepentingan Melayu. Bukan kepentingan ummah.
Kerusi-kerusi mereka pun belum tentu selamat kerana sedang menjadi buruan UMNO.
Saya tidak ingin menuduh.
Saya tidak tahulah berapa banyak beg-beg berisi wang berkepul-kepul sedang berpindah tangan.
Sudah berapa ekor kambing mati tergolek di meja makan untuk menjayakan permainan politik aras tinggi ini.
Jadi kalau Muhyiddin tidak mahu makan bersama, katalah dia sombong pun.
Saya tak kisah.
Datuk Dr Marzuki Mohamad