24/04/2025
Cuti peristiwa pada hari Isnin 28 April 2025
Syukur Alhamdulillah. Tahniah pasukan Johor Darul Taβzim (JDT) kerana berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-2025 menentang Sri Pahang pada Sabtu ini, 26 April 2025.
Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, dengan ini Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Isnin, 28 April 2025, sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat Johor sebagai tanda sokongan padu dan penghargaan terhadap pencapaian cemerlang pasukan JDT.
Menjunjung setinggi-tinggi kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku atas visi, perancangan dan usaha luar biasa dalam menjadikan JDT sebuah kelab bola sepak berprestij, bukan sahaja di Malaysia, bahkan kini disegani di rantau Asia.
Dengan empat gelaran Piala Malaysia dalam tangan pada musim 2017, 2019, 2022 dan 2023, misi kejuaraan kelima kini di depan mata. Ayuh seluruh penyokong Harimau Selatan, kita banjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, bagi memberikan sokongan penuh dan menjadi pemain ke-12 untuk perlawanan ini. Semoga kemenangan milik pasukan JDT!
Dan jangan lupa, ayuh kita terus gegarkan Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad, 27 April 2025, jam 8.00 malam dalam satu sambutan penuh gilang-gemilang untuk "Chapter 2: The 11". Mari kita hadir beramai-ramai, kibarkan bendera biru merah, dan raikan pasukan kebanggaan kita, Johor Darul Ta'zim.
AYUH JOHOR! AYUH JOHOR! LUASKAN KUASAMU JOHOR!
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor