10/12/2022
PANDUAN BINA RUMAH IDAMAN BATU PAHAT
PANDUAN 1 : KAWASAN LAPANG DI HADAPAN RUMAH
Pastikan rumah yang kita ingin bina itu mempunyai kawasan lapang yang agak luas di hadapan rumah kita. Kawasan yang lapang serta luas menambahkan nilai sesebuah rumah untuk nampak lebih cantik dan selesa.
PANDUAN 2 : SYILING YANG TINGGI SEKURANG-KURANGNYA 10 KAKI
Dengan kedudukan syiling yang tinggi, ruang dalaman rumah akan nampak lebih luas dan besar. Selain itu, syiling yang tinggi memberikan ruang pengudaraan yang lebih baik. Suhu di dalam rumah lebih rendah dan memberikan rasa nyaman atau rasa sejuk yang lebih baik berbanding rumah berkedudukan syiling rendah.
PANDUAN 3 : PENGASINGAN RUANG TAMU & RUANG KELUARGA
Fikirkan berkenaan kedudukan dalam rumah dengan lebih awal dan penuh terancang. Asingkan ruang tamu & ruang keluarga dengan kedudukan yang betul supaya tercapai matlamat menjaga rasa selesa dalam apa jua keadaan. Dengan mengasingkan dua ruang ini dengan betul, tetamu yang datang ke rumah kita dapat disambut dengan lebih mesra tanpa risau atau mengganggu ahli keluarga lain yang mungkin dalam situasi tersebut ada pertimbangan-pertimbangan lain seperti penjagaan aurat dan privasi.
PANDUAN 4 : ELAKKAN PEMBAZIRAN RUANG
Dalam merancang rekabentuk rumah, cuba gunakan setiap ruang dengan sebaik mungkin dan bijaksana. Perancangan awal yang teliti dapat mengelakkan ruang-ruang yang ada terbazir seperti tiada fungsi. Sebagai contoh, rekaan 1 bilik air di antara 2 bilik tidur. Ianya satu rekaan yang bagus kerana kita sudah tidak perlu mengambil ruang lain untuk membina bilik air.
PANDUAN 5 : LIHAT ARAH MATAHARI JATUH
Yang terakhir sekali, lihat arah matahari jatuh. Sebelah matahari jatuh jangan dihadapkan dengan ruang-ruang akan kita gunakan pada waktu malam seperti bilik tidur. Seboleh mungkin, bilik tidur tidak berada pada kedudukan yang terkena cahaya matahari pada waktu petang. Kerana, jika matahari memancarkan cahayanya ke arah bilik tidur pada waktu petang, pada malam hari bilik tidur tersebut akan menjadi lebih panas kerana haba yang diserap pada siangnya mula dilepaskan pada waktu malam.
Kesimpulannya, lakukan perancangan awal dalam membina rumah idaman anda. Lihat dari pelbagai aspek yang mungkin boleh berlaku agar anda mendapat keselesaan maksimum di kemudian hari.
Follow.Like.Share
Fb: SBA IBS CONSTRUCTION & CONSULTANCY
https://www.facebook.com/ibsspecialist/