04/08/2026
SESUAI TAK BELI RUMAH WAKTU SEKARANG?
"Afyan, sekarang masih sesuai ke nak beli rumah?"
Ini pandangan saya sebagai seorang perancang kewangan. Bukan ejen hartanah dan bukan juga pelabur hartanah tegar.
Jawapan saya ialah:
Ya, sesuai. Tetapi bukan untuk semua orang.
Membeli rumah bukan soal "market sedang cantik" semata-mata. Ia lebih kepada sama ada kewangan kita benar-benar sudah bersedia.
Hari ini, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.
1. HARGA RUMAH LEBIH FLEKSIBEL
Di banyak kawasan, pasaran masih memberi kelebihan kepada pembeli. Banyak pemaju menawarkan pelbagai insentif seperti diskaun, rebat, bantuan kos guaman atau pakej yang mengurangkan kos permulaan.
Bagi rumah subsale p**a, masih ada pemilik yang sanggup berunding harga jika benar-benar ingin menjual.
Tetapi jangan hanya melihat harga yang murah.
Pastikan lokasi, kemudahan, potensi pembangunan dan permintaan kawasan tersebut juga baik.
Rumah murah di lokasi yang kurang permintaan tetap boleh menjadi aset yang kurang menguntungkan.
2. JANGAN LIHAT ANSURAN SAHAJA
Ramai orang hanya bertanya:
"Ansuran bulanan berapa?"
Sedangkan memiliki rumah datang bersama banyak kos lain.
Antaranya:
- Deposit dan kos guaman
- Duti setem
- Cukai pintu dan cukai tanah
- Yuran penyelenggaraan
- Takaful MRTT/MLTT
- Kos baik pulih dan penyelenggaraan
- Perabot serta ubah suai
Jika hanya mampu membayar ansuran tetapi tidak bersedia dengan kos-kos ini, pembelian rumah boleh menjadi beban.
3. PASTIKAN KEWANGAN STABIL DAHULU
Sebelum membeli rumah, tanya diri sendiri:
Ada dana kecemasan sekurang-kurangnya 3 hingga 6 bulan?
Hutang lain terkawal?
Pendapatan stabil?
Komitmen bulanan masih mempunyai lebihan?
Kalau jawapannya masih "belum", mungkin lebih baik tangguhkan dahulu.
Rumah yang dibeli terlalu awal boleh menyebabkan kita hidup terlalu sempit setiap bulan.
4. KALAU BELI UNTUK PELABURAN, BUAT KIRA-KIRA
Zaman beli apa sahaja pasti untung sudah lama berlalu.
Hari ini, pelaburan hartanah memerlukan analisis yang lebih teliti.
Kira:
- Pulangan sewa.
- Kadar kekosongan.
- Permintaan penyewa.
- Potensi kenaikan nilai.
- Kos pegangan.
Jangan beli hanya kerana ejen kata "harga akan naik" atau "ramai dah booking".
Keputusan membeli mesti berdasarkan angka, bukan emosi.
Pelaburan terbaik tetap ilmu.
Ramai terlalu sibuk mencari rumah terbaik.
Sedangkan yang lebih penting ialah menjadi pembeli yang bijak.
Sebelum membeli rumah, laburkan dahulu masa dan wang untuk menambah ilmu kewangan dan hartanah.
Ilmu membantu kita memilih rumah yang sesuai, mendapatkan harga yang lebih baik dan mengelakkan kesilapan yang boleh menyebabkan kerugian berpuluh atau beratus ribu ringgit.
Rumah ialah aset yang besar. Jangan terburu-buru hanya kerana takut terlepas peluang.
Beli apabila kewangan benar-benar bersedia, bukan semata-mata kerana bank meluluskan pembiayaan.
Kerana kelayakan pinjaman tidak semestinya bermaksud kemampuan kewangan.
Follow Afyan Mat Rawi, IFP untuk lebih tips kewangan dari Wakanda!