18/09/2026
5 Faktor Pembuat Bid'ah Tidak Semestinya Masuk Neraka
90 Pelajaran Tentang Bid’ah
Bab 4 : Ramai Akan Masuk Neraka?
Oleh Hafiz Firdaus bin Abdullah
Sabda Rasulullah ﷺ dalam khutbah baginda, … setiap bid’ah adalah kesesatan dan setiap kesesatan berada dalam neraka kerap kali menimbulkan persoalan,
“Memandangkan ramai umat Islam telah terjebak dalam keyakinan dan amalan bid’ah, maka ramai yang akan masuk neraka?”
Jawapannya adalah seperti berikut:
Ketahuilah bahawa Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dalam masalah kemungkaran membezakan antara perbuatan dan pembuat. Apabila sesuatu perbuatan dinyatakan mungkar, tidak bererti pembuatnya dihukum sebagai ahli neraka. Ini kerana mungkin sahaja pembuatnya tidak tahu, salah faham, belum mampu meninggalkan perbuatan mungkar tersebut, bertaubat pada kemudian hari atau amal solehnya yang banyak dapat
menghapuskan amal mungkarnya yang sedikit.
Selain itu, apabila sesuatu kemungkaran dikaitkan dengan neraka, maka ia menunjukkan betapa berat ancaman tersebut dan betapa penting untuk berusaha menjauhinya. Dari sudut hukum p**a, sesuatu kemungkaran yang diancam dengan neraka menunjukkan kemungkaran tersebut hukumnya haram, bukan makruh. Ia tidak bererti bahawa pembuat kemungkaran itu dijamin masuk neraka.
Sebagai contoh, perhatikan hadis berikut di mana Rasulullah ﷺ bersabda,
"Tiga golongan yang Allah tidak akan berbicara dengan mereka (di Akhirat kelak), tidak akan melihat kepada mereka, tidak akan membersihkan mereka (daripada dosa) dan bagi mereka azab (neraka) yang pedih:
(1) Seorang yang memiliki kelebihan air dalam perjalanannya tetapi menahan daripada (memberikannya) kepada orang musafir yang terkandas.
(2) Seorang yang memberikan janji taat setia kepada seorang lain, tidaklah dia memberikan janji itu melainkan atas sebab keuntungan) dunia. Jika dia diberikan apa yang dia kehendaki, maka dia memelihara janjinya. Jika tidak (diberikan), dia tidak memelihara janjinya.
(3) Seorang yang tawar menawar barang dagang dengan seorang lain selepas waktu Asar, maka dia bersumpah atas nama Allah bahawa (kononnya) dia ditawarkan barang dagang yang sama dengan harga sekian-sekian (yang lebih murah), lalu dia dapat (membelinya dengan harga yang murah itu) (Riwayat al-Bukhari no. 2476/2672. Kitab al-Syahadat, Bab Sumpah Setelah Asar)
Dalam hadis di atas, Rasulullah ﷺ menerangkan tiga bentuk perbuatan yang diancam dengan azab neraka yang pedih. Tujuan ancaman adalah bagi menerangkan bahawa tiga perbuatan tersebut adalah dilarang dan merupakan kesalahan yang besar.
Akan tetapi pembuatnya tidak semestinya akan masuk neraka di Akhirat kelak. Ini kerana orang yang tidak memberikan air, dia mungkin tidak tahu bahawa si fulan telah terkandas dalam pemusafirannya dan sangat memerlukan air. Orang yang tidak memelihara janjinya, dia mungkin memiliki amal soleh lain yang dapat menghapuskan kesalahan mungkir janji. Orang yang menipu ketika tawar menawar, mungkin pada awalnya dia menganggap ia adalah salah satu bentuk jual beli yang dihalalkan. Kemudian apabila dia mengetahui hadis larangan di atas, dia segera bertaubat daripada perbuatan itu.
Kembali kepada khutbah larangan bid’ah, Rasulullah ﷺ memberi ancaman kesesatan dan neraka bagi menunjukkan bahawa ia adalah perbuatan yang amat besar kesalahannya. Akan tetapi jika dicermati khutbah Rasulullah ﷺ itu, ia merujuk kepada perbuatan bid’ah dan bukannya pembuat bid’ah. Perhatikan semula,
Seburuk-buruk urusan ialah perkara-perkara yang baharu, setiap perkara baharu adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah kesesatan dan setiap kesesatan berada dalam neraka.
Rasulullah ﷺ tidak bersabda, “Seburuk-buruk urusan ialah perkara-perkara yang baharu, setiap pencipta dan pengamal perkara baharu adalah ahli bid’ah, setiap ahli bid’ah adalah orang yang sesat dan setiap orang yang sesat akan masuk neraka.”
"Apabila seseorang itu mencipta, meyakini atau mengamalkan bid’ah, dia tidak semestinya akan masuk neraka. Sebabnya:
Pertama, mungkin seseorang tidak tahu, tersilap atau keliru bahawa keyakinan atau amalan itu adalah bid’ah. Padahal dia telah bersungguh-sungguh mencari ilmu tentang apa yang sunnah dan menjauhi apa yang bid’ah. Maka moga-moga Allah tidak mengambil kira kesalahan bid’ahnya itu sebagaimana firman-Nya,
ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ ۚ فَإِنْ لَمْ تَعْلَمُوا آبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ ۚ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَٰكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
"Dan kamu p**a tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu untuk melakukannya. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". [al-Ahzab 33:05]
Di sini amatlah penting untuk mengkaji dan membezakan sama ada sesuatu keyakinan dan amalan itu adalah sunnah atau bid’ah. Jangan mengikuti apa-apa keyakinan atau amalan jika tidak memiliki ilmu bagi membezakan apakah ia sunnah atau bid’ah.
Meskipun yang mengajarnya adalah ustaz yang masyhur, ramai yang mengikutinya dan ia telah tersebar luas. Ini kerana Allah 'Azza wa Jalla telah berfirman,
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang engkau tidak mempunyai ilmu mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua itu akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. [al-Isra’ 17:36]
Jika tidak pasti apakah keyakinan dan amalan itu adalah sunnah atau bid’ah, maka tangguhkan ia sehinggalah dapat dilakukan kajian, semakan dan perbandingan. Jangan sengaja membodohkan diri mengikutinya kerana di Akhirat kelak pendengaran, penglihatan dan hati akan ditanya dan dipertanggungjawabkan.
Satu contoh adalah doa berjemaah, baik selepas solat-solat fardhu di masjid dan surau atau di majlis-majlis. Jangan ikut serta dengan menadah tangan dan mengaminkannya sebelum menyemak apakah ia sunnah atau bid’ah. Meskipun ia adalah satu amalan yang sangat masyhur dan tersebar luas.
Kedua, mungkin seseorang mengetahui keyakinan atau amalan itu adalah bid’ah, namun dia tidak memiliki kekuatan untuk menjauhinya. Maka moga-moga Allah mengampuni kelemahannya itu, sebagaimana Allah mengampuni orang-orang lemah yang tidak dapat berhijrah demi membela nyawa dan agama mereka,
إِلَّا الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًا
"Kecuali orang-orang yang lemah dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak p**a mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah)".
فَأُولَٰئِكَ عَسَى اللَّهُ أَنْ يَعْفُوَ عَنْهُمْ ۚ وَكَانَ اللَّهُ عَفُوًّا غَفُورًا
"Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun". [al-Nisaa’ 4:98-99]
Kembali kepada contoh doa berjemaah, seseorang mengetahui ia adalah bid’ah tetapi tidak memiliki kekuatan untuk menjauhinya ketika di majlis-majlis. Maka moga-moga Allah mengampuninya.
Pun begitu, tidak dianjurkan membiarkan kelemahan itu menguasai dirinya kerana dibimbangi ia semakin bertapak kuat sehingga menyebabkan hatinya menjadi keras daripada mengikuti dan mengamalkan sunnah. Sebaliknya hendaklah berazam dan menguatkan dirinya mengikuti sunnah dan menjauhi bid’ah. Ambillah iktibar daripada firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ ۖ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ
Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mengingati Allah serta mematuhi kebenaran yang diturunkan (al-Qur’an)? Dan janganlah p**a mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka (lalu mereka enggan mematuhinya), setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik (derhaka). [al-Hadid 57:16]
Ketiga, mungkin seseorang mengetahui keyakinan atau amalan itu adalah bid’ah, lalu pada satu masa dalam kehidupannya dia beristighfar atau bertaubat, maka moga-moga Allah menerima istighfar atau taubatnya itu. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
"Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan yang telah mereka lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)". [Ali Imran 3:135]
Keempat, mungkin seseorang mengetahui keyakinan atau amalan itu adalah bid’ah dan dia berterusan dengan bid’ah tersebut sehingga ke akhir hayat. Namun pada waktu yang sama keyakinan dan amalannya yang selari dengan sunnah adalah banyak. Maka moga-moga apa yang selari dengan sunnah yang banyak itu menjadi kafarah yang menghapuskan kesalahan bid’ahnya yang sedikit itu. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,
وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ ۚ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ
"Sesungguhnya amal-amal kebajikan menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. [Hud 11:114]
Kelima, seseorang yang mengetahui keyakinan atau amalan itu adalah bid’ah dan dia berterusan dengan bid’ah tersebut sehingga ke akhir hayat. Akan tetapi anak-anaknya telah mempelajari sunnah, mengamalkan sunnah dan menjauhi bid’ah. Anak-anaknya tidak melakukan majlis-majlis tahlil selepas kematiannya, sebaliknya berterusan berdoa kepada Allah agar diampunkan kesalahan-kesalahan bid’ahnya. Maka moga-moga Allah mengampunkannya.
Daripada Abu Hurairah RadhiyAllahuanhu, Rasulullah ﷺ bersabda;
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariahnya atau ilmunya yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya. (Riwayat Muslim no. 3084/1631. Kitab al-Wasiyat, Bab Apakah Ganjaran Yang Diperolehi Oleh Manusia Setelah Dia Meninggal Dunia). https://sunnah.com/muslim:1631
Demikianlah beberapa faktor yang mempengaruhi pembuat bid’ah sehingga keyakinan dan amalan bid’ahnya tidak semestinya menjaminkan kedudukan di dalam neraka.
Justeru sekali lagi diulangi, ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah yang mencela kemungkaran, seperti bid’ah, ia merujuk kepada perbuatan dan bukannya pembuat. Adapun pembuat kemungkaran, termasuklah pembuat bid’ah, maka terdapat beberapa faktor yang akan dinilai oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala pada Hari Akhirat kelak sebelum mengenakan apa-apa tindakan.
Perkara ini, yakni membezakan antara perbuatan dan pembuat, hendaklah difahami dengan baik kerana ramai orang agama yang tidak dapat membezakannya. Sehingga apabila ditegur bahawa sesuatu keyakinan atau amalan adalah bid’ah, serta merta mereka menganggap pembuatnya adalah sesat dan dijamin masuk neraka."
Muat turun edisi PDF di www.hafizfirdaus.com