30/07/2024
Pemegang Amanah
1. Pemegang Amanah adalah seseorang atau satu pihak yang dilantik oleh tuan tanah semasa beliau masih hidup dan akan berkuatkuasa serta merta sebaik sahaja pelantikan pemegang amanah dibuat.
2. Kebiasaannya Pemegang Amanah dilantik oleh tuan tanah itu sendiri untuk melaksanakan sesuatu tanggungjawab bagi pihak tuan tanah atau bagi pihak orang lain yang berkepentingan dengan tanah tersebut.
3. Misalnya Pemegang Amanah boleh dilantik sekiranya tuan tanah ingin menghibahkan hartanya kepada anak-anaknya yang bawah umur atau pihak-pihak lain yang tidak layak dari segi undang-undang untuk memiliki harta tersebut, misalnya seseorang yang cacat dan sebagainya.
4. Pemegang Amanah juga boleh dilantik untuk tujuan menguruskan dan memegang amanah bagi pihak orang lain yang mempunyai hak pemilikan dan kepentingan terhadap tanah tersebut tetapi hak pemilikan tersebut tidak dapat didaftarkan di dalam geran akibat kekangan undang-undang dan sebagainya. Misalnya 5 orang pembeli dikalangan adik beradik atau rakan rapat berkongsi duit beli tanah pertanian berkeluasan 1 ekar untuk tujuan sama-sama uruskan urusan pecah lot. Memandangkan terdapat kekangan dari segi undang-undang yang mensyaratkan tanah pertanian hanya boleh dipindahmilikkan kepada satu nama sahaja untuk setiap 1 ekar, maka hanya salah seorang di kalangan 5 orang pembeli tersebut akan didaftarkan namanya di dalam geran. Dan 4 orang pembeli yang lain akan melantik pembeli yang namanya didaftarkan dalam geran tadi sebagai Pemegang Amanah sebagai instrument sementara sebelum geran individu berstatus bangunan dikeluarkan dan pindahmilik dibuat daripada pemegang amanah kepada pemberi amanah.
5. Untuk mewujudkan ikatan Pemegang Amanah yang sah, satu surat cara Ikatan Amanah akan ditandatangani oleh pemberi amanah dan pemegang amanah. Surat Ikatan Amanah tersebut akan didaftarkan di Pejabat Tanah. Untuk melindungi hak dan kepentingan pemberi amanah atau pihak yang berkepentingan melalui Ikatan Amanah tersebut, mereka boleh memohon Pentadbir Tanah memasukkan Kaveat Amanah ke atas tanah tersebut.
6. Sama seperti Pentadbir Harta, Pemegang Amanah juga tidak ada hak dan kuasa penuh terhadap hartanah tersebut. Ertinya Pemegang Amanah tidak boleh sewenang wenangnya menjual atau memindahmilikkan tanah tersebut kepada pihak-pihak lain melainkan dengan persetujuan daripada pemberi amanah itu sendiri