29/12/2022
TAHUKAH ANDA CARA UNTUK MEMBELI RUMAH PERTAMA?
Ramai yang masih keliru bagaimana untuk beli rumah pertama anda. Yelahkan, bukan beli rumah ni perkara yang kita selalu buat.
Jadi dalam artikel kali ini, saya akan kongsikan bagaimana langkah sebenar untuk beli rumah pertama anda supaya anda tidak membuang masa dan juga tidak mudah untuk ditipu oleh orang lain.
1. Sediakan maklumat kewangan peribadi
Maklumat kewangan peribadi ini penting untuk anda membuat pinjaman perumahan kelak. Anda perlu menyediakan senarai pendapatan, potongan, komitmen, pelaburan, simpanan dan cukai.
Semua senarai ini perlu ada dokumen sah sebagai bukti contohnya slip gaji bagi pendapatan anda.
2. Semakan kelayakan
Sebelum menyemak kelayakan di bank, pastikan anda membawa dokumen maklumat kewangan yang anda telah sediakan tadi, dokumen CCRIS dan CTOS jika ada.
Semak di beberapa buah bank yang berbeza kerana polisi dan syarat setiap bank adalah berbeza. Kelayakan pembiayaan anda akan dikira mengikut Debt Service Ratio (DSR).
Jika pegawai bank memberi jawapan positif, anda boleh mulakan misi mencari rumah pertama anda. Jika negatif, anda perlu perbaiki maklumat kewangan peribadi anda dan pendokumentasian maklumat tersebut, perbaiki CCRIS atau hapuskan CTOS.
3. Mencari rumah pertama anda
a. Cara membeli
Tiga cara membeli rumah pertama anda adalah beli dengan pemaju (underconstruction), pasaran sekunder (subsale) dan lelong. Kalau anda inginkan rumah baharu, belilah dari pemaju. Tetapi biasanya ada tempoh menunggu, harga mahal dan ada risiko terbengkalai.
Rumah subsale p**a adalah rumah terpakai dan berisiko rendah kerana rumah sedia ada. Rumah lelong p**a berisiko tinggi walaupun kebanyakannya murah kerana tidak boleh lihat dalaman rumah sebelum membeli.
b. Leasehold / Freehold
Harga rumah leasehold rendah sikit daripada unit freehold. Bank biasanya akan beri pinjaman jika tempoh pajakan (lease) sekurang-kurangnya 30 tahun lepas tamat tempoh pinjaman.
Freehold bermakna hak milik kekal dan harganya tinggi sikit daripada unit leasehold.
c. Bumi lot / Non-bumi lot
Bumi lot adalah untuk pembeli bumiputera sahaja dan harga lebih murah berbanding non-bumi lot. Non-bumi lot p**a terbuka kepada semua bangsa dan berharga tinggi sedikit berbanding bumi lot.
d. Senarai hartanah untuk dibeli atau dibida
Senarai hartanah yang ingin dibeli atau dibida boleh didapati melalui ejen hartanah berdaftar. Bagi unit lelong, boleh rujuk ejen lelong.
Selain itu, anda boleh menyemak di laman sesawang, Facebook group, pusat beli belah dan dengan membuat rondaan ke lokasi yang diingini.
e. Nilai pasaran
Anda boleh menyemak nilai pasaran melalui jurunilai hartanah atau melihat harga transaksi jual beli di laman sesawang berbayar.
Selain itu, anda juga boleh membuat anggaran melalui perbandingan iklan unit yang lebih kurang sama di lokasi yang sama di internet. Anda juga perlu tahu yang bank hanya memberikan pembiayaan 90% daripada harga jual atau nilai pasaran unit.
https://www.sekolahhartanah.com.my/hartanah/cara-beli-rumah-pertama-panduan-terkini-2023/