04/06/2026
Budaya menghormati orang yang lebih tua sudah semakin pupus dalam jiwa masyarakat. Di mana-mana, kita melihat orang ramai bercakap dengan golongan yang lebih tua, menggunakan bahasa yang 'jelik' dan tidak sopan. Hal ini sangat ketara terutamanya di kalangan generasi muda.
Bercakap tentang bahasa, haruslah difahami bahawa istilah 'bahasa' di sini bukan hanya merujuk kepada pemilihan perkataan.
'Bahasa' juga merangkumi nada bicara, 'lenggok tubuh', kerlingan mata, 'bunga-bunga' percakapan, dan topik perbualan.
Kegagalan memahami perkara inilah yang disebut oleh masyarakat dahulu sebagai ;
"Tak reti bahasa".
Sayangnya, istilah 'tak reti bahasa' itu pun kini gagal difahami juga.
Itulah petanda buruk bahawa jiwa anak bangsa kita sudah semakin 'miskin'. Lebih merugikan lagi, budaya 'kurang adab' ini akan menyebabkan anak bangsa kita semakin 'miskin'. Semakin jahil dan semakin jahil.
Mengapa? Kerana adab ialah kunci kepada ilmu!
Kalau bercakap dengan ibubapa tidak beradab, dengan guru tidak beradab, dengan orang lebih tua tidak beradab, akhirnya siapa yang akan mengajarkan ilmu kepada kita? Sekiranya mereka cuba mengajar sekalipun, keegoan kita sendiri akan menjadi batu penghalang kepada ilmu!
Kalau kita menyangka semua ilmu boleh diperolehi sekadar dengan menekan papan kekunci telefon pintar saja, tidak hairanlah mengapa pemikiran kita seinci demi seinci, sejengkal demi sejengkal akan mengikut acuan barat. Kita mengikut kata orang bukan kerana benar, tetapi kerana mereka popular. Kita bersetuju bukan kerana mereka betul, tapi kerana mereka banyak 'followers'.
Ingatlah, media sosial ini 'milik' mereka. Siapa mereka? Tepuk dada tanya akal.
Sebagai 'orang silat', marilah kita sama-sama menjadi sebahagian dari orang yang memperjuangkan nilai-nilai murni bangsa kita.
'Sesungguhnya bahasa jiwa bangsa'.
Semoga Allah peliharakan bangsa bertuah ini hingga akhir zaman.
ADMIN