22/02/2026
TANAH LEASEHOLD TAMAT TEMPOH, KERAJAAN AUTOMATIK BOLEH AMBIL TANAH KE?
Ramai yang tanya kami di Emir Mahmud & Co, “Apa akan berlaku selepas tanah freehold tamat tempoh pajakan? Kerajaan auto akan ambil ke tanah tu?” Jadi saya nak jelaskan perkara ini dengan cara yang mudah terutamanya pembeli rumah pertama dan juga pemilik hartanah yang sudah lama membeli rumah tetapi jarang semak status geran.
Pertama sekali, kita kena betulkan istilah. Tanah freehold sebenarnya tidak mempunyai tempoh tamat kerana freehold bermaksud hak milik kekal. Yang ada tempoh tamat ialah tanah leasehold (pajakan), contohnya pajakan 60 tahun atau 99 tahun.
Untuk tanah leasehold, apabila tempoh pajakan tamat secara prinsipnya hak milik tanah tersebut akan kembali kepada Kerajaan Negeri. Dalam bahasa mudah, kerajaan memang ada kuasa untuk mengambil semula tanah tersebut apabila tempoh pajakan telah berakhir.
Namun, penting untuk difahami bahawa ianya bukan bermaksud kerajaan akan “datang rampas” secara tiba-tiba tanpa proses tetapi ianya berlaku melalui rekod pentadbiran dan proses yang diuruskan oleh Pejabat Tanah dan akan memberi kesan besar kepada status hak milik pemilik.
Pemilik tanah sebenarnya ada pilihan untuk membuat permohonan lanjutan tempoh pajakan (renew lease) sebelum tempoh tersebut tamat. Permohonan ini biasanya melibatkan proses tertentu dan ianya bergantung kepada kelulusan Kerajaan Negeri, termasuklah bayaran premium tanah ikut harga pasaran terkini dan lain-lain kos.
Selain itu, ada juga kes yang boleh dilanjutkan sehingga 99 tahun semula, ada juga kes yang dilanjutkan untuk tempoh tertentu sahaja, bergantung kepada dasar negeri dan status tanah tersebut.
Tempoh minimum untuk membuat permohonan pembaharuan pajakan sekurang-kurangnya 3-5 tahun sebelum tempoh pajakan tamat.
Tetapi jika pemilik tidak mengambil sebarang tindakan dan membiarkan tempoh pajakan tamat begitu sahaja, risiko yang akan berlaku bukan kecil.
Jika pemilik hendak jual, disarankan 40 tahun sebelum tarikh pajakan tamat supaya urusan pinjaman bank lebih mudah diluluskan, nilai pasaran rumah tidak jatuh, serta pembeli tidak berdepan risiko kesukaran untuk membuat pembaharuan pajakan (renewal) dalam masa terdekat.
Bila bank tidak mahu bagi loan, pembeli pun semakin kurang dan akhirnya pemilik yang rugi kerana hartanah yang sepatutnya menjadi aset boleh bertukar menjadi liabiliti.
Sebab itu, nasihat kami di Emir Mahmud & Co, kalau anda memiliki rumah atau tanah leasehold, jangan tunggu saat-saat akhir.
Semak awal baki tempoh pajakan di geran, dan jika baki sudah semakin pendek, mulakan perancangan untuk perbaharui supaya hak milik anda kekal terjaga, nilai hartanah tidak jatuh dan urusan jual beli di masa hadapan tidak menjadi masalah.