28/05/2017
ASB LOAN DAN SOALAN LAZIM YANG BERKAITAN UNTUK BAKAL PEMBELI RUMAH
====================
Sejak kebelakangan ini, saya banyak menerima permohonan pinjaman di mana peminjam mempunyai pinjaman ASB atau ASB loan. Hari ini saya ingin mencungkil beberapa persoalan yang menyebulungi ASB loan ini. Antara soalan lazim yang saya terima adalah seperti berikut;
Soalan 1:
Adakah ASB loan dikira sebagai komitmen atau pendapatan?
Jawapan:
Komitmen. ASB loan anda akan dilihat sebagai pinjaman berjangka dalam CCRIS. Adoi…nama pun dah ASB loan kan?
Soalan 2:
Adakah dividen ASB diterima sebagai pendapatan sampingan oleh bank? Jika ya, bagaimana dividen tersebut dikira?
Jawapan:
Ya, dividen ASB anda dikira sebagai pendapatan oleh kebanyakan bank dan boleh digunakan untuk pengiraan DSR untuk memohon pinjaman perumahan. Bagi kiraan dividen ASB, sila semak dengan bank masing-masing.
Soalan 3:
Apakah dokumen yang diperlukan oleh bank semasa memohon pinjaman perumahan jika saya mempunyai ASB loan?
Jawapan:
Ada 3 dokumen penting yakni; surat tawaran bank untuk ASB loan, penyata pengagihan pendapatan terkini, dan buku ASB terkini
Soalan 4:
Apa yang perlu saya lakukan jika surat tawaran pinjaman ASB saya telah hilang?
Jawapan:
Anda boleh memberi penyata pinjaman ASB terkini daripada bank untuk memohon pinjaman perumahan. Pastikan penyata pinjaman ASB anda jelas menunjukkan beberapa maklumat penting ini; nama pemegang akaun, jumlah pinjaman asal yang diluluskan, baki pinjaman semasa, dan ansuran bulanan semasa.
Soalan 5:
Perlukah saya membatalkan pinjaman ASB saya sebelum memohon pinjaman perumahan?
Jawapan:
Subjektif dan bergantung kepada situasi anda. Secara umumnya, saya menyarankan anda tidak membuat pinjaman jikalau memendam hasrat untuk membeli rumah dalam jangka masa terdekat, iaitu kurang dari 6 bulan dari sekarang. Ini adalah kerana ASB baru anda belum memberi dividen (pendapatan) kepada anda dan mungkin akan menyebabkan permohonan pinjaman perumahan anda ditolak.
Soalan 6:
Eh, saya dah mohon batal pinjaman ASB minggu lepas, kenapa masih belum keluar dari rekod CCRIS?
Jawapan:
Rekod CCRIS anda dikemaskini sebulan sekali oleh Bank Negara dan besar kemungkinan rekod anda masih belum dikemaskini.
Pinjaman ASB merupakan produk bercagaran dan dimiliki oleh PNB sebagai tuan punya produk dan tidak boleh dibatalkan begitu sahaja seperti pinjaman peribadi. Pihak bank hanya merupakan agen berdaftar untuk pengedaran ASB dan tidak mempunyai kuasa membatalkan pinjaman tersebut sewenang-wenangnya. Bank perlu memohon pembatalan dengan PNB dan ini mungkin memakan masa yang panjang.
Soalan 7:
Saya sudah hantar surat permohonan pembatalan pinjaman ASB yang disahkan dengan cop bank kepada pihak bank sewaktu memohon pinjaman perumahan tetapi pihak bank masih berkeras mengira pinjaman ASB saya sebagai komitmen untuk kiraan DSR. Kenapa?
Jawapan:
Ini adalah kerana pihak bank selaku agen pengedar ASB tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan ASB anda sewenang-wenangnya tapi dikehendaki meminta kebenaran PNB untuk membuat demikian. Maksudnya, permohonan pembatalan ASB anda berkemungkinan tidak diluluskan oleh PNB!
Jadi, pihak bank akan mengambil jalan konservatif dalam penilaian permohonan anda dengan menganggap bahawa pinjaman ASB anda masih aktif dalam kiraan DSR mereka. Sila tunggu sehingga surat pembatalan rasmi pinjaman ASB anda diberi untuk mengeluarkan kiraan tersebut dari kiraan DSR anda.
Soalan 8:
Eh, bukan kah pihak bank boleh melihat semua informasi di atas dalam CCRIS apabila kami membuat permohonan pinjaman perumahan?
Jawapan:
Tidak, bukan semua informasi tersebut akan tertera di sistem CCRIS bank. Pihak bank hanya akan mengetahui jenis pinjaman (pinjaman bercagaran atau tidak bercagaran) dan jumlah pinjaman yang diluluskan. Bagi ASB loan, biasanya bank akan melihatnya sebagai pinjaman peribadi. Contoh di bawah akan menjelaskan perbezaan kedua-dua kemudahan kredit ini dan kesan ke atas permohonan pinjaman perumahan anda.
Contoh;
Dari sistem bank
Pinjaman peribadi: RM200,000
Kadar faedah: 15% setahun
Tempoh pinjaman: 7 tahun
Ansuran bulanan: RM4880 (A)
Berbanding situasi sebenar
Pinjaman ASB: RM200,000
Kadar faedah: 5.2%
Tempoh pinjaman: 25 tahun
Ansuran bulanan: RM1533 (B)
Katakan seorang pemohon mempunyai gaji bersih sebanyak RM5000 untuk memohon pinjaman perumahan yang membawa ansuran bulanan sebanyak RM2000.
Bagi situasi A,
DSR baru = RM4880 + RM2000 × 100%
________________________
RM5000
= 138%
Bagi situasi B,
DSR baru = RM1533 + RM2000 x 100%
_____________________________
RM5000
= 71%
Kemudahan kredit yang sama tetapi lihat perbezaan yang ketara dalam pengiraan DSR pemohon. Anda rasa permohonan mana yang mempunyai lebih peluang untuk diluluskan?
Pendek kata, pinjaman ASB merupakan pisau bermata dua dan boleh membawa mudarat jikalau tidak mempunyai ilmu yang mencukup semasa mengaplikasinya. Akan tetapi, jikalau digunakan dengan ilmu, ASB merupakan satu instrumen di mana anda mempunyai banyak manfaat seperti mengumpul wang pendahuluan untuk membeli rumah pelaburan.
Setakat ini sahaja perkongsian di petang ini dan harap bermanfaat.
Sebarang info atau pertanyaan tentang jual beli rumah atau loan dan lawyer boleh contact saya
Khair @ 0133449701
Rodziah @ 0133635649