17/11/2021
SUDAH HUJUNG 2021, AMBILLAH TAWARAN KERAJAAN UNTUK PENJUAL DAN PEMILIK RUMAH
Post ini amat relevan kepada tuan-tuan rumah yang ingin menjual rumah-rumah berstatus kediaman, dan juga amat relevan kepada mana-mana pelabur hartanah yang ingin "flip" hartanah jenis kediaman yang dimiliki.
Kerana, jika anda ingin menjual hartanah yang anda ada, anda bukan hanya akan:
i) mendapatkan KEUNTUNGAN bersih daripada harga jualan ataupun daripada "markup value", namun keuntungan yang diperoleh tersebut juga;
ii) datang dengan satu tanggungjawab MENJELASKAN CUKAI ke atas KEUNTUNGAN tersebut kepada Kerajaan Malaysia.
Cukai tersebut dikenali sebagai Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) atau dalam Bahasa Inggerisnya, Real Property Gain Tax (RPGT). Cukai ini telah lama diperkenalkan sejak 1976 menerusi Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 (Akta 169).
Selain daripada Akta 169 tersebut, sebelum menjual sesuatu hartanah jenis kediaman, anda juga boleh merujuk kepada Perintah-Perintah (Pengecualian) CKHT yang telah diwartakan/ digazetkan selepas pembentangan Belanjawan Tahunan Malaysia yang diadakan tiap-tiap tahun.
Ini kerana, anda mungkin tergolong dalam kalangan yang berhak mendapatkan pengecualian CKHT jika memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan menerusi Perintah-Perintah tersebut. Setiap tahun terdapat syarat-syarat yang berbeza. Salah satu Pengecualian CKHT yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia, yang masih lagi berkuatkuasa pada tarikh saya menulis entri ini, adalah seperti yang diberikan pada tahun lepas melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Dimana anda berhak mendapatkan Pengecualian CKHT sekiranya memenuhi syarat-syarat tersebut:-
1. Hartanah yang dijual adalah jenis Rumah Kediaman sahaja;
2. Tempoh Jualan adalah antara 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021; dan
3. Pengecualian diberikan terhad kepada Tiga Unit Harta Kediaman sahaja.
(Ruj Perintah Cukai Keuntungan Harta Tanah (Pengecualian) 2020 - P.U.(A)218 bertarikh 28.07.2020 untuk butiran penuh pengecualian)
Jadi sekiranya anda ada Hartanah Jenis Kediaman dan ada niat untuk menjualnya, inilah masanya yang sesuai untuk jual hartanah yang anda ada dan mendapatkan pengecualian cukai ini.
Pengecualian menerusi P.U.(A)218/2020 ini hanya terpakai sehingga 31 Disember 2021. Mungkin anda berjaya mendapatkan pembeli sebelum hujung tahun ini dan mungkin juga tidak sempat.
Sekiranya tidak sempat menjualnya pada tahun ini, sebenarnya ada lagi Pengecualian CKHT yang lain yang mungkin boleh terpakai kepada anda namun ciri-cirinya dan keistimewaannya ada kurang sedikit daripada pengecualian yang diceritakan disini. Tetapi Duit Tetap Duit, mana boleh dapat Pengecualian Cukai, sama-samalah kita ambil manfaat.
Pengecualian CKHT yang lain dan yang akan datang akan saya kupaskan dalam entri guaman hartanah saya berikutnya. Semoga bermanfaat.
Credit to : FAAIZ Law