11/06/2026
Pemilik sewakan kedai, rumah kepada PATI boleh dikenakan tindakan undang-undang - Peguam
KUALA LUMPUR, 11 Jun 2026: Seorang peguam, Hafidzah Hassan, menerusi perkongsian di media sosial menjelaskan beberapa aspek perundangan berkaitan penyewaan rumah atau premis perniagaan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurut beliau, Akta Imigresen mengandungi peruntukan yang mengawal penggunaan premis sebagai tempat tinggal PATI termasuk tanggungjawab pemilik premis atau tuan tanah.
Katanya, Seksyen 55E Akta Imigresen memperuntukkan larangan terhadap pemilik premis daripada membenarkan PATI tinggal atau menyewa di premis mereka.
Dalam perkongsian sama, Hafidzah turut menjelaskan peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam mengawal selia pembangunan dan aktiviti perniagaan di sesuatu kawasan.
Menurutnya, PBT merujuk kepada Majlis Daerah, Majlis Perbandaran atau Majlis Bandaraya yang bertanggungjawab melaksanakan pelbagai fungsi termasuk meluluskan pelan bangunan, mengawal selia lesen perniagaan serta menjalankan penguatkuasaan terhadap struktur yang dibina tanpa kelulusan.
Selain itu, PBT juga mempunyai kuasa di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) untuk mengeluarkan notis serta mengambil tindakan terhadap binaan yang tidak mematuhi peraturan.
Beliau berkata, PBT turut berperanan dalam aspek kebersihan, kesihatan awam dan kawalan gangguan di kawasan setempat termasuk isu pembuangan sampah, penyakit berjangkit, penggunaan kaki lima dan aduan awam.
Tambahnya, antara akta utama yang menjadi asas kepada bidang kuasa PBT ialah Akta Kerajaan Tempatan.
Sumber