11/07/2025
Secara asasnya, bila ekonomi kukuh, OPR biasanya dinaikkan supaya ekonomi tidak berkembang terlalu laju sehingga mencetuskan inflasi yang tidak terkawal.
Sebaliknya, bila ekonomi berada dalam tekanan atau krisis, OPR akan diturunkan untuk menggalakkan lebih ramai ambil pinjaman atau kurangkan bayaran ansuran supaya rakyat lebih banyak berbelanja atau melabur bagi merancakkan ekonomi.
Namun begitu, langkah ini biasanya akan menyebabkan kadar inflasi meningkat dan melemahkan nilai Ringgit.
Jadi, penurunan Statutory Reserve Ratio ke paras 1.0% beberapa bulan lalu serta penurunan OPR hari ini jelas menunjukkan ekonomi negara sedang dalam tekanan.
Sebagai rekod, sebaik sahaja Najib jadi Menteri Kewangan pada Oktober 2008, beliau turunkan OPR sebanyak 3 kali dari 3.50% ke 2.00% pada Mac 2009 kerana negara berdepan krisis besar The Great Recession—kemelesetan ekonomi paling teruk sejak 1930-an.
Selepas ekonomi pulih dan tumbuh pesat, OPR dinaikkan 4 kali bermula Mac 2010 hingga Mei 2011 dari 2.00% ke 3.00%, dan dinaikkan lagi ke 3.25% pada Julai 2014.
Namun pada Julai 2016, OPR diturunkan semula ke 3.00% kerana krisis kejatuhan harga minyak dunia, sebelum dinaikkan semula ke 3.25% pada Januari 2018 apabila ekonomi kembali rancak.
Selepas PRU14, ekonomi mula menurun dan OPR diturunkan ke 3.00% pada Mei 2019.
Apabila Covid melanda, OPR terus diturunkan 4 kali sehingga 1.75% dari Februari 2020 ke Julai 2020.
Selepas ekonomi mula pulih dari Covid, OPR dinaikkan semula 4 kali hingga 2.75% pada Jun-Oktober 2022 dan naik sekali lagi ke 3.00% pada Mei 2023 di bawah Madani.
Hari ini, OPR diturunkan semula ke 2.75%.
Dari sudut teori ekonomi, OPR sepatutnya tidak diturunkan waktu ini kerana nilai Ringgit masih lemah dan inflasi dijangka meningkat selepas kenaikan dan peluasan cukai SST, tarif elektrik yang naik, tarif pelabuhan yang naik dan harga RON96 yang juga akan naik.
Jika Ringgit masih lemah dan dasar-dasar yang bakal meningkatkan inflasi baru sahaja dilaksanakan, mengapa p**a OPR diturunkan sehingga memberi lebih tekanan pada Ringgit dan mendorong inflasi lebih tinggi?
Mungkin sebab Madani percaya ekonomi kita kini benar-benar dalam tekanan besar dan mereka sudah tiada pilihan lain.